Saturday, October 3, 2009

nasihat2 b'gune nieyh...

Bacalah artikel di bawah berkenaan nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya yang boleh kita dapati dalam surah Luqman, semoga kita dapat membuat perkara yang sama dalam keluarga kita:

1- Jangan Menyekutukan Allah
Menyekutukan Allah merupakan dosa paling besar yang tidak mendapat keampunan daripada Allah s.w.t. kita hendaklah meletakkan pergantungan hanya pada Allah s.w.t saja kerana Dialah yang Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu di dunia dan di akhirat

2- Berbuat baik Kepada Kedua Ibu Bapa
Pergorbanan ibu bapa terhadap anak-anak terlalu banyak. Oleh itu, sebagai anak hendaklah berusaha menjadi anak yang disegani dan sentiasa mendoakan mereka:” Wahai Tuhanku, kasihanilah kedua ibubapaku sebagaimana mereka telah mendidikku sewaktu aku kecil”.

3- Sedar Akan Pengawasan Allah
Allah nampak setiap perkara yang berlaku walaupun sekecil atau sehalus mana sekalipun. Ingatlah bahawa setiap perbuatan akan didedahkan di Akhirat kelak. Allah mengetahui segala-galanya kerana tidak ada amal perbuatan manusia yang terlepas dari pengawasan Allah.

4- Mendirikan Solat
Setiap mukalaf wajib mendirikan solat dengan sempurna yakni dengan khusyuk kerana ia akan dapat mencegah seseorang itu daripada melakukan kemungkaran. Inilah golongan orang-orang yang beruntung dan berjaya di dunia dan di akhirat.

5- Menyeru Berbuat Kebaikan
Tidak ada yang lebih mulia selain daripada mengajak manusia kepada kebaikan. Jangan bertangguh-tangguh untuk berbuat kebaikan. Dengan ini, sepanjang hayat kita akan terisi dengan kebaikan semata-mata.

6- Mencegah Kemungkaran
Kita hendaklah berani mencegah kemungkaran. Orang yang tidak mencegah kemungkaran merupakan orang tidak ada harga diri dan akan mendapat kutukan daripada Allah lantaran sikap mereka itu.

7- Sabar Menghadapi Ujian Hidup
Kita wajb bersabar terhadap hal-hal yang menimpa kita. Itu adalah tanda seseorang itu mempunyai keimanan yang kuat. Kunci kemenangan terhadap segala tentangan dan rintangan adalah sabar.

8- Tidak Berlagak Sombong
Sifat sombong hanya bagi Allah tetapi tidak bagi manusia. Oleh itu, Allah amat murka pada orang yang menyombong diri. Seseorang yang sombong akan hilang harga dirinya dan akan rendah martabatnya.

9- Ingatlah Bahawa Manusia Itu Akan Mati
Orang yang cerdik ialah orang sentiasa mengingati mati dan bersedia untuknya. Kita hendaklah sentiasa menghisab diri dan bersegera bertaubat apabila melakukan dosa kerana mati itu akan datang bila-bila masa saja.

10- Rendahkanlah Suaramu.
Apabila bersuara jangan meninggikan suara. Jangan sampai ada orang yang merasa terganggu dengan suara kita. Berbicaralah dengan suara yang sedap didengar dan dengan suasana yang tenang juga bahasa yang enak didengar.

No comments:

Post a Comment